Koperasi Usahawan Muda Pulau Pinang Bhd

Apakah itu Koperasi?

ANGKA DAN FAKTA

Menurut perangkaaan terkini dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ada lebih 6.65 juta rakyat Malaysia yang menganggotai lebih 7,000 buah organisasi koperasi di seluruh negara, termasuk ~300-ribu anggota dalam lebih 500 buah koperasi di negeri Pulau Pinang.  Dianggarkan juga lebih seribu koperasi baru telah ditubuhkan sepanjang tahun 2009 termasuk lebih seratus buah koperasi baru di negeri Pulau Pinang sahaja (temasuklah Koperasi Usahawan Muda Pulau Pinang Bhd (KUMUDA) yang telah sah didaftarkan pada 17 JUN 2009).

Angka-angka di atas menggambarkan perkembangan aktif pergerakan koperasi di Malaysia sehingga menjurus pengubahsuaian Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK - ditubuhkan 1922) kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada 1 JANUARI 2008, dah telah disasarkan untuk jumlah koperasi mencapai 10,000 buah pada tahun 2015, dan mungkin 10 juta anggota, ataupun hampir 40% penduduk negara.

Begitupun, masih besar yang perlu dicapai oleh gagasan koperasi-koperasi tersebut.  Misalnya, walaupun koperasi-koperasi ini berasaskan modal terkumpul lebih RM8-billion dan menjanakan perolehan tahunan sehingga RM7.7B dengan keuntungan hampir RM2B, dan berjaya mengumpulkan aset bernilai lebih RM55B, sumbangan sebegini hanyalah 1.45% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP), berbanding sehingga 20% GDP di beberapa negara maju! 

Sebagai perbandingan, The-Cooperative Group di United Kingdom yang mempunyai 4.5 juta anggota dan 123,000 pekerja menguasai rangkaian runcit ke-5 terbesar di UK dengan 9% pasaran dalam negara melalui 2,200 kedai runcit makanan dan 2,700 kedai-kedai lain milik koperasi tersebut, menjanakan perolehan tahunan hampir RM50-billion dan keuntungan lebih RM500-juta setahun.  Begitu juga di negara-negara Eropah lain yang mana misalnya gabungan-gabungan koperasi Coop Italia dan S Group menguasai pasaran runcit sebesar 17.7% di Itali dan 36% di Finland (2005). Di Jepun pula, sektor koperasinya menguasai 70% perusahaan perikanan di negara tersebut, selain industri peruncitannya yang juga kukuh dengan lebih 14 juta ahli koperasi.  Terdapat juga dari kalangan koperasi yang menjuaraai industri masing-masing misalnya bank terbesar di Perancis, pemproses makanan terbesar di India dan organisasi terbesar di Switzerland dari segi bilangan pekerja.

{Gerakan Koperasi di Malaysia perlu lebih agresif bersaing dengan syarikat-syarikat lain}

Statistik-statistik dari SKM juga menerangkan bahawa 20 koperasi terbesar dengan jumlah anggota seramai lebih 24-ribu hingga hampir 800-ribu setiap satu, atau jumlah keanggotaan lebih dua juta orang semuanya ataupun 32% anggota koperasi negara, tapi menyumbang sejumlah 56% modal syer & yuran, 85% saiz aset, 55.5% perolehan dan 76% keuntungan.  Juga, koperasi terbesar negara, Bank Rakyat, secara sendirinya dengan hanya 12% keanggotaan boleh menyumbang hampir 25% modal, hampir 75% saiz aset, lebih 40% perolehan dan lebih 60% keuntungan!

{Koperasi-koperasi kecil dan/atau baru perlu lebih agresif dalam mencontohi koperasi-koperasi besar, dan mengambil sepenuh peluang yang ada daripada pihak kerajaan dan lain-lain.}


BIDANG OPERASI


Secara congak juga tampaknya koperasi perbankan dan kredit agak mendominasikan pegangan aset atau perolehan tahunan gerakan koperasi di Malaysia. Tak kurang juga beberapa koperasi yang disokong rapat oleh inisiatif-inisiatif kerajaan, misalnya Koperasi Permodalan Felda Bhd, Koperasi Belia Nasional Bhd (KOBENA) dan beberapa koperasi berasaskan pertanian, hartanah dan pembinaan.

Bagaimana dengan bidang-bidang lain seperti peruncitan buku seperti di Australia, peruncitan alatan sukan dan hobi di Amerika Syarikat dan Kanada, peruncitan makan di Eropah dan Jepun, dalam bidang utiliti (eletrik, air dan telekomunikasi) yang masih banyak belum diterokai, dan bidang-bidang lain seperti pengurusan jenazah, pengedaran & perdagangan, pakaian, farmasi & perubatan, media & penerbitan, perundangan, pelancongan, pendidikan, kejuruteraan & otomatif dan pelbagai produk dan perkhidmatan lain?

Pilih mana yang suka, pilih mana yang rela...



TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Tahukah anda apa itu Koperasi, sejarahnya, tujuan penubuhan sesebuah koperasi, dan kepelbagaiannya? Pernahkan anda dengar tentang "Dasar Koperasi Negara"?

Silakan tonton wacana dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena Hari Koperasi Negara 2008:



... dan sebuah dokudrama berkaitan "koperasi" atau "yang dulunya orang cakap 'Syarikat Kerjasama' tu kan?":



(dah lama dah diwar-warkan klip video-video kat atas tu oleh Bahagian Pengurusan Maklumat SKM (ketika SKM masih di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi), tapi kurang daripada 500 orang yang tengok di wahana YouTube setakat 30 APRIL 2010, jadi, kira masih "fresh" .. ;))

Apa pun, pastinya rata-rata rakyat Malaysia pernah mendengar tentang Bank Rakyat, atau nama panjangnya, Bank Kerjasama Rakyat Berhad, yang kini mempunyai aset melebihi RM30 Bilion, yakni lebih 70% aset semua koperasi di seluruh Malaysia. Bank yang tertubuh sebelum merdeka lagi, yakni pada September 1954 hasil gabungan sebelas bank-bank persatuan dan asalnya dinamakan Bank Agong (Apex Bank), "menawarkan produk dan perkhidmatan Perbankan Islam kepada anggota dan juga bukan anggota melalui 117 cawangan, 78 mesin ATM luar premis, 12 Kedai Ar-Rahnu X'Change dan 7 Pusat Perbankan Elektronik di seluruh Malaysia."

Nak contoh lain?

Bagaimana dengan 19 lagi buah koperasi contoh di bawah yang menerajui Senarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2009, selepas Bank Rakyat:
  1. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad [Bank Rakyat]
  2. Koperasi Permodalan Felda Berhad
  3. Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad
  4. Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad
  5. Koperasi Serbausaha Makmur Berhad
  6. Koperasi Kakitangan Petronas Berhad [Kopetro]
  7. Koperasi Pekebun Kecil Daerah Batu Pahat Berhad
  8. Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad [Angkasa]
  9. Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad
  10. Koperasi Pekebun Kecil Daerah Batang Padang (Utara) Berhad
  11. Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad
  12. Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Berhad
  13. Koperasi Koswip Malaysia Berhad
  14. Koperasi Pekebun Kecil Daerah Pontian Berhad [Kepak]
  15. Koperasi Shamelin Berhad
  16. Koperasi Pembangunan Daerah Langkawi Berhad
  17. Koperasi Pegawai-Pegawai Kesedar Berhad
  18. Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad
  19. Koperasi Serbaguna Felda Chini Satu Berhad
  20. Koperasi Tenaga Nasional Berhad

Untuk orang Pulau-Pinang, pastinya pernah mendengar tentang Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd yang makmur dengan pelaburan dan projek-projek hartanahnya seawal tahun 1968 hinggalah kini berjaya mengumpulkan aset melebihi RM300-juta setakat awal 2010 dan pulangan kepada setiap anggotanya berjumlah ~1300 orang berupa rumah/hartanah bernilai lebih RM300-ribu setiap seorang pada atau sebelum 2012.

Tak lupa juga Koperasi Pendidikan Islam Malaysia Berhad (UKHWAH) yang menyergah semua media massa tempatan lewat ini dengan "Restoran Rakyat 1Malaysia" siap dengan sarapan lengkap semurah RM1 sahaja di Lorong Medan Tuanku 1, Kuala Lumpur. Khabarnya, Koperasi Ukhwah yang baru saja berusia sebelas tahun ini, dipengerusikan oleh Datuk Hj Mustapa Kamal bin Maulut, yang juga Naib Yang Dipertua ANGKASA, sudahpun memiliki hartanah bernilai lebih RM120 juta.



Bagaimana dengan yang lain di Penang, khususnya di Balik Pulau, kawasan asal penubuhan Koperasi Usahawan Muda Pulau Pinang yang terbaru? Seharapnya sudah 'bisa', bak kata orang seberang, untuk mencongak jauh kehadapan dan sedia serta terus mengorak langkah untuk menyerlahkan suatu yang baharu untuk senario sosio-ekonomi tempat kita...

Sediakah usahawan-usahawan kita termasuk pengusaha-pengusaha pembuatan, agro, makanan, perkhidmatan, media, perkomputeran, pemasaran dan lain-lain mengembleng tenaga untuk mengharumkan komuniti ke seluruh negara, dan seantero dunia?

Teruskan membaca tentang KUMUDA...


Make a Free Website with Yola.