Karnival Rakyat Harmoni anjuran Tunas Indah Niaga Enterprise yang dijalankan selama sepuluh hari di perkarangan Kompleks Sukan Balik Pulau mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada lebih 100 peniaga dan pemamer, serta lebih 20,000 pengunjung dari sekitar daerah Barat Daya Pulau Pinang, mahupun dari negeri-negeri jiran.



Untuk tidak melepaskan peluang dalam acara dagangan dan ekspo terbesar di Balik Pulau ini, dengan lebih 130 tapak perniagaan dan pameran bersaiz 20x20 dan 10x10, Koperasi Usahawan Muda Pulau Pinang (KUMUDA) selaku peserta terbesar turut serta dengan lebih 20 usahawannya, turut bertapak di Karnival tersebut bermula 2 JULAI, di "rumah panjang KUMUDA" yang terbina dengan 20 booth bersambung.

"Inilah kali pertama Koperasi yang bertapak di Balik Pulau ini dan anggotanya mengadakan pernyertaan niaga bersaiz ini", ujar Nasir Sobri, pemangku pengerusi KUMUDA.  Penyertaan KUMUDA dalam ekspo ini, menurut beliau adalah untuk memastikan pengusaha tempatan juga turut dapat menikmati manfaat pertemuan dengan pelanggan dan bakal pelanggan secara besar-besaran ini.

KUMUDA yang mempunyai sejarah penubuhan melalui Pusat Internet Desa (PID) Balik Pulau juga mendapat sokongan padu dari pengurusan PID dalam Karnival tersebut.  Kelab Usahawan Sosial (KUS) PID Balik Pulau turut mengadakan pameran melalui dua ruang niaga di Rumah Panjang KUMUDA tersebut sepanjang tempoh Karnival sehingga 11 JULAI 2010. 

Menurut Siti Huraizah Abdul Rahman, Pengurus PID Balik Pulau merangkap Setiausaha KUMUDA, "Perkara yang tak dapat dilupakan, selain daripada berjaya merapatkan pengurusan KUMUDA dengan para usahawan tempatan, ialah apabila t-shirt "balikpulau.net" keluaran KUS-PID Balik Pulau berjaya dilelong dengan bantuan artis jemputan Amy Search dengan harga rekod tertinggi sebanyak RM350 sehelai!"   Hasil kutipan lelongan baju T tersebut, yang direka khas oleh Saudara Muzafar Ghazali, salah seorang anggota KUMUDA dan juga KUS-PID Balik Pulau, bersama beberapa lagi t-shirt khas Karnival oleh penganjur utama adalah untuk disumbangkan kepada Tabung Anak-anak Yatim.



Malam terakhir Karnival Rakyat Harmoni menyaksikan hadiah-hadiah bernilai puluhan ribu ringgit termasuk sebuah kereta dan sebuah motosikal dimenangi oleh pengunjung-pengunjung bertuah melalui cabutan tiket yang diberi dengan setiap belian melebihi RM10 di ekspo tersebut.



Antara artis-artis lain dan penceramah yang turut memeriahkan acara malam KRH termasuklah kumpulan nasyid Rabbani, Pak Long, Ustaz Radzi (bekas penyanyi kumpulan rock Melissa) dan Ustazah Dato' Nurbahiyah dan Ustaz Wan Akashah.  Pengunjung juga disajikan dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan termasuk Pertandingan Mewarna anjuran Saleha Tupperware & KUS-PID Balik Pulau dan pertunjukan silat.



Gambar-gambar dan perincian penuh ada di Laman Facebook dedikasi acara tersebut:
http://www.facebook.com/event.php?eid=130269437003208